Pocong dipancung tidak mati part 1


Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi, saya masih tidak dapat melelapkan mata, entah mengapa sejak dari tadi hati ini agak resah dan gelisah. Petanda apakah ini…? Adakah ini berkemungkinan ada serangan-serangan dari golongan jin yang berdendam…? Puas berpusing ke kanan dan ke kiri namun mata ini masih segar macam baru lepas minum kopi cap kapal api..
Tiba-tiba telefon bimbit saya berdering… nombor yang tertera tidak saya kenali… saya mengerling jam di dinding, “sudah pukul 2.30 pagi, siapa pula yang menelefon pagi-pagi buta ni..?” bisik hati saya…
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya menjawab telefon, harapan saya moga-moga tidak ada perkhabaran yang memeranjatkan di pagi yang hening ini…
“Assalamu’alaikum”, saya memulakan percakapan.
“Wa’alaikum salam ustaz, nama saya Imran dari Selayang, minta maaf kerana terpaksa hubungi ustaz waktu begini, saya mohon bantuan ustaz kerana adik lelaki saya sedang kerasukan, dari tadi adik saya tidak sedarkan diri, bercakap dan ketawa sendirian tanpa sebab”, kata Imran.
Serba salah saya di buatnya, waktu-waktu beginilah waktu yang kritikal bagi seorang perawat, macam doktor “on call” la pulak… Nak cakap “tak boleh”, tak sampai hati, kalau datang tolong tak dapat nak jangka pukul berapa boleh habis nanti…
Tak mengapa lah, oleh kerana dah memang tugas, tambahan pula saya dah jawab panggilan tersebut, maka saya mengambil keputusan untuk datang membantu…
Sampai saya di rumah Imran, kelihatan adiknya sedang tidur sambil berdengkur. Terkeliru saya sebentar, adakah ini manusia yang tidur atau jin yang sedang tidur…
“Ini adik saya ustaz, namanya Johan, dia tahu kami panggil ustaz datang terus dia tidur”, kata Imran sambil cuba mengejutkan adiknya.
“Bangun Johan, bangun…”, beberapa kali Imran memanggil nama adiknya, namun Johan masih membatukan diri, sambil berdengkur.
Sambil memejamkan mata, saya cuba menelurusi ke dalam diri Johan melalui pandangan mata hati, kelihatan dua ekor pocong, sedang ketawa mengejek sambil membuat memek muka seolah-olah sedang tidur… “owwhhhh… hantu pocong rupanya, nak bergurau agaknya, tu yang pura-pura tidur sambil berdengkur, muka macam simen pecah, ada hati nak menipu”, bisik hati saya.
Tanpa melengahkan masa, saya membaca surah al-ikhlas, sambil meniup tapak tangan. Lantas saya menepuk dada Johan sambil menjerkah hantu-hantu pocong tersebut, “Bangun kau dengan izin Allah !!!”. Dengan tak semena-mena Johan terus bangun dari tidur. Matanya terkelip-kelip dan ketawa terbahak-bahak sambil berkata, “baca surah al-ikhlas je ustaz?, tak de ke jampi-jampi yang brutal sikit yang boleh bakar kami hidup-hidup… “… pergghhhh… pocong ni bakar line nampaknya…
Ada dua ekor pocong di hadapan saya sekarang, seekor pocong memakai balut kain putih dan seekor pocong lagi memakai balut kain hitam. Masing-masing dengan gaya kesombongan yang tersendiri.
“Aku nak kau lepaskan budak ni”, kata saya.
“Ustaz… kami tidak mahu keluar, kami menerima arahan dari pihak atasan supaya tinggal dalam badan budak ni”, Kata pocong tersebut serentak. Macam dialog drama bersiri “gerak khas” la pulak..
“oowwwhhh… jin sihir rupanya…”, bisik hati saya…
“Siapa pihak atasan yang mengarahkan kamu tu?” Tanya saya…
“Elleehhhhh, ustaz ni macam tak biasa, dah nama pun pihak atasan, mana boleh sebut nama…kami hanya menerima arahan”, kata pocong tersebut sambil ketawa terbahak-bahak.
Pandai pulak pocong ni bermain kata-kata… Memang sengaja cari pasal pocong ni…
Tanpa membuang masa saya membaca ayatul Qursi berulang-ulang kali untuk menghunjam pocong tersebut dengan teknik bebola api. Kelihatan pocong berbalut kain putih mula kepanasan dan terbakar akibat terkena serangan bebola api yang bertubi-tubi. Hampir separuh kain putih yang membaluti tubuh pocong tersebut hangus terbakar. Bau hangit terbakar menusuk hidung, namun pocong tersebut tetap bertahan, walaupun terjerit-jerit kesakitan.
“Aku beri kamu amaran yang terakhir, samada kamu keluar atau aku pancung kamu sampai mati”, saya menggertak pocong tersebut.
“Eeehhh Ustaz… tak baik tau bunuh kami, berdosaaaaa…”, pocong berbalut kain hitam bersuara dengan nada mengejek..
“Sedangkan nyamuk gigit pun aku tampar sampai mati, ni kan pula pocong durjana macam kamu berdua ni”, balas saya dengan harapan pocong tersebut mengalah..
Sudah hampir setengah jam berlalu, pocong putih terbakar teruk, manakala pocong hitam tiada terjejas sedikit pun, seolah-olah ia kebal dari serangan saya. Oleh kerana pocong tersebut masih berdegil tidak mahu keluar, saya mohon kepada Allah agar memberi keizinan semoga saya dapat memancung pocong tersebut sampai mati…
Sambil membaca “ayat pedang”, saya mengeluarkan pedang ghaib dari celah-celah jari. Kilauan pedang yang timbul cukup menyilau dan menggerunkan pandangan pocong putih itu. Hanya dengan sekali tebasan, putus kepala pocong tersebut jatuh tercerai dari badannya, tiba-tiba Johan menggelepar lalu jatuh pengsan…
Pocong putih sudah mati, tetapi pocong hitam masih ada lagi… Hati saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pocong berbalut kain hitam ini, dari tadi dia seolah-olah tidak terkesan dengan serangan-serangan yang saya lakukan…
Apakah kesudahan kisah ini...? Berjayakah saya menewaskan pocong hitam yang kebal dan tidak lut dengan serangan-serangan tahap gaban saya...? Nantikan sambungan kisah ini tidak lama lagi...
Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Jangan Lupa Bagi Sedikit Komen( >_< )