Dosa seorang wanita yang tidak menutup aurat dan melakukan maksiat tidak ditanggung olehnya seorang sahaja. Tetapi beliau turut mengheret puluhan orang lain yang akan menanggung dosa bersamanya. Adakalanya si wanita ini berkata:
‘Aku tidak menutup aurat itu aku punya pasal la! Bukan aku
menyusahkan kamu pun!’
Sebenarnya beliau silap! Dek kerana dirinya yang tidak
menutup aurat, beliau telah membuatkan orang-orang yang bertanggungjawab
mendidik dan menjaganya turut menanggung dosa. Siapakah orang-orang itu? Mereka
ialah:
(1) Suaminya.
(2) Ayahnya.
(3) Saudara lelakinya.
(4) Anak lelakinya.
Keempat-empat golongan lelaki ini perlu bertanggungjawab
memikul beban dosa yang dibuat oleh seorang wanita. Adakah ini dikatakan tidak
menyusahkan?
Itu baru sebahagian. Mereka yang disenaraikan di atas adalah
orang-orang yang perlu ‘bertanggungjawab’, belum termasuk orang-orang lain yang
‘terlibat’. Di bawah ini saya senaraikan pula orang-orang lain yang terlibat
kerana dosa seorang wanita:
1) Sahabat
Sahabat yang menyuruh, mencadangkan dan yang dijadikan
contoh untuk seorang wanita membuka aurat perlu menanggung dosa yang sama
seperti wanita yang membuka aurat.
Sahabat yang tidak menegur juga perlu menanggung dosa kerana
tidak menyampaikan amanah dari Allah. Telah dinyatakan bahawa kita perlu
membuat teguran dalam peringkat:
(1) Tegur dengan tangan jika terdaya.
(2) Tegur dengan mulut jika terdaya.
(3) Benci di dalam hati. Dan ini adalah selemah-lemah iman.
Jika tidak menegur kita sekurang-kurangnya perlu merasa
benci di dalam hati. Bukankah hal ini menyusahkan orang lain?
2) Orang yang melihat
Sesiapa sahaja yang melihat dengan syahwat dan ghairah akan
menanggung dosa penglihatan dan dosa hati. Setiap mata yang memandang walaupun
hanya sehelai rambut akan membuatkan si wanita itu bertambah dosa berlipat kali
ganda.
3) Jurufoto
Jurufoto yang mengambil gambar wanita bukan mahramnya yang
tidak menutup aurat adalah berdosa. Dosanya akan bertambah apabila menyebarkan
gambar itu dalam majalah, internet dan seumpamanya.
4) Penerbit surat khabar, majalah, blog dan sebagainya.
Mana-mana sahaja media yang memaparkan aurat wanita adalah
berdosa. Tengok saja penulis blog gosip, majalah, surat khabar dan sebagainya.
Semuanya dipenuhi dengan gambar-gambar wanita yang tidak menutup aurat. Kesemua
orang ini menanggung dosa disebabkan oleh wanita yang tidak menutup aurat.
5) Penjual/ penyebar
Orang yang menjual majalah, gambar-gambar dan sesiapa sahaja
yang menyebarkan gambar wanita yang tidak menutup aurat dalam FB, Tagged,
Friendster, Myspace dan sebagainya turut menanggung dosa. Dalam Islam, apa sahaja
yang haram adalah haram untuk dijual dan disebarkan.
6) Pembeli/ pembaca
Orang yang membeli dan membaca turut menanggung dosa.
Sesiapa yang menyumbang dan memberi sokongan untuk kejayaan mereka-mereka yang
mendedahkan aurat ini akan menerima saham dosa masing-masing. Kerana disebabkan
merekalah golongan-golongan yang tidak menutup aurat ini semakin bangga dengan
dosa-dosa mereka.
Inilah antara orang yang akan menanggung dosa kerana seorang
wanita yang tidak menutup aurat. Tidak cukupkah senarai ini menjelaskan bahawa
betapa perbuatan tidak menutup aurat itu akan menyusahkan orang lain? Itu belum
termasuk orang-orang yang melihat dengan ghairah sehingga menyebabkan mereka
berniat untuk merogol, mencarut, memaki-hamun, mengumpat tentang keburukan
bentuk tubuh wanita itu dan banyak lagi kesan buruk yang perlu ditanggung
disebabkan sikap sombong seorang wanita yang tidak menutup aurat.
Nauzubillah…
Setelah membaca, mari kita renung-renungkan kembali berapa
banyak dosa yang telah kita kumpulkan? Beristighfar dan bertaubatlah sebelum
terlambat…